Antara punca-punca berlakunya tekanan dalam kalangan pelajar universiti:
Pengurusan Masa
Pelajar Malaysia, terutamanya mengalami
masalah pengurusan masa dan masalah tekanan di kalangan pelajar yang bekerja di
peringkat pascasiswazah yang mempunyai keluarga untuk melanjutkan pelajaran,
menjadi fokus utama topik berbincangan punca tekanan menuntut di institusi
pengajian tinggi. (Hamizatun, Norzaini 2013). Pengurusan masa yang tidak
teratur menjadi faktor utama pelajar universiti mengalami tekanan dari segi
fizikal dan mental. Ramai pelajar akan mengalami tekanan apabila terlalu banyak
tugasan yang perlu disiapkan pada satu-satu masa. Malahan bagi pelajar yang
bekerja sambilan akan lebih mengalami tekanan sekiranya masa mereka tidak
diuruskan dengan baik. Pelajar prasiswazah pada tahun pertama akan cenderung
mengabaikan pengurusan masa yang baik yang akan mengakibatkan tekanan sehingga
sanggup mengambil risiko yang lebih berbahaya sehingga meragut nyawa sebagai
langkah penyelesaian terhadap tekanan yang dialami. Kecenderungan pelajar
baharu yang bersikap acuh tak acuh pada tugasan yang diberikan pensyarah dan
lalai menyebabkan mereka akan melaksanakan tugasan pada minit-minit terakhir
penghantaran. Sikap pelajar universiti yang sebegini menjadi faktor tekanan
mental untuk menyiapkan tugasan yang berlambak pada masa yang sama.
Kekurangan
sumber kewangan juga merupakan salah satu punca stres dalam kalangan pelajar
universiti. Pelajar universiti mengalami tekanan semasa tempoh pengajian
berjalan kerana terbeban dengan masalah kewangan yang terhad. Hal ini dikatakan
demikian kerana, mereka perlu membiayai pengajian dan juga menampung kos sara
hidup semasa berada dalam tahun pengajian. Menurut kajian yang dilakukan oleh
Norlaila, Norain, Iman Athira dan Suhaila (2019) yang dijalankan terhadap 223
orang siswa IPT, walaupun terdapat pinjaman pendidikan seperti Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan biasiswa Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA), namun pelajar masih terbeban dengan masalah kewangan yang terhad
terutama kepada golongan B40 dan M40 untuk membeli keperluan asas harian akibat
daripada kos sara hidup yang meningkat. Melalui hal ini, pelajar terpaksa
mengamalkan amalan berjimat yang tidak sihat seperti mengikat perut dengan
menghadkan kadar pengambilan makanan seharian. Kecenderungan pelajar melakukan
hal ini akan memberi kesan terhadap prestasi pembelajaran dan juga tahap mental
dan fizikal pelajar.
Faktor
persekitaran
Faktor
persekitaran organisasi juga menjadi penyumbang kepada terjadinya stres dalam
kalangan pelajar universiti menurut Riggio (2001). Tempat pembelajaran yang
kondusif sangat penting bagi seseorang pelajar untuk menelaah pelajaran dengan
baik. Namun begitu, ramai pelajar universiti yang mengalami tekanan akibat
persekitaran yang tidak baik dan tidak selesa untuk sesi pembelajaran. Sebagai
contoh, pelajar akan merasa tekanan apabila susasana bising semasa kuliah.
Selain itu, tekanan akibat keadaan bilik kuliah yang agak sempit dan kurang
selesa menyebabkan pelajar terpaksa bersesak-sesak untuk menjalankan sesi
kuliah. Persekitaran di dalam bilik juga menjadi penyumbang stres kepada
pelajar universiti. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka terpaksa belajar
dalam keadaan yang tertekan akibat dari gangguan rakan sebilik yang tidak
bertanggungjawab. Kecenderungan pelajar yang terikat dengan faktor persekitaran
yang tidak baik semasa tempoh pengajian akan mengakibatkan tekanan yang serius
terhadap fizikal dan mental.
Rujukan
Norlaila
Binti Abu Bakar, Norain Binti Mod Asri, Iman Athira Binti
Laili
& Suhaila Binti Saad. (2019). Masalah Kewangan Dan Tekanan Dalam Kalangan
Mahasiswa Dalam Kalangan Pelajar UKM. Jurnal Personalia Pelajar, Vol 22, No 2,
113-120
Tiada ulasan:
Catat Ulasan