Hasil kajian-kajian terdahulu ke atas para siswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menunjukkan stres memberikan kesan yang positif dan negatif kepada mereka. Dalam aspek yang positif, kajian oleh Kassam, Koslov dan Mendes (2009) ke atas para siswa sebuah kolej mendapati sebahagian mahasiswa yang mengalami stres sebelum menduduki peperiksaan menunjukkan prestasi yang baik di dalam peperiksaan.
Begitu juga kajian terkini oleh Siraj, Salam, Roslan, Hasan, Jin dan Roslan (2014) ke atas 179 siswa tahun 4 dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menunjukkan bahawa stres memotivasikan para siswa untuk mencapai prestasi yang cemerlang di dalam akademik. Siraj dan rakan-rakan (2014), berpandangan pendedahan yang diberikan kepada para mahasiswa dalam aspek pembuatan keputusan, pembinaan pasukan, menguruskan kepelbagaian, pembangunan kerohanian, personaliti dan kemahiran komunikasi selama empat tahun mereka mengikuti kursus perubatan mungkin menyumbang kepada pencapaian akademik yang cemerlang walaupun mereka berhadapan dengan pelbagai situasi yang boleh menyebabkan stres.
Walau bagaimanapun, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa stres mempunyai kesan yang negatif kepada siswa di IPT. Misalnya, kajian oleh Womble (2010) mendapati stres menjejaskan prestasi akademik para siswa. Begitu juga kajian oleh Kamarudin, Aris dan Ibrahim (2009) mendapati stres menjejaskan hubungan antara siswa dan rakan sebaya dan ahli keluarga mereka. Secara rangkumannya, stres tidak dapat dinafikan akan memberi impak kepada pelajar universiti berhubung kait dengan prestasi akademik mereka namun hal ini bergantung kepada tahap kebijaksanaan mereka mengendalikan stres.
Jikalau mereka terlalu mengikut emosi dalam semua keadaan maka impak negatif akan berlaku tetapi jika sebaliknya mereka akan termotivasi untuk belajar besungguh-sungguh tidak senang dengan keselesaan yang ada, stres dimurnikan menjadi sebagai pembakar semangat maka itulah cerminan diri mereka sebagai seorang mahasiswa yang bijak berhadapan dengan masalah.
RUJUKAN
Siraj, H. H., Salam, A., Roslan, R., Hasan, N. A., Jin, T. H., & Othman, M. N. (2014). Stress and its association with the academic performance of undergraduate fourth year medical students at Universiti Kebangsaan Malaysia. The International Medical Journal Malaysia, Vol. 13, No. 1, 19-24.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan