Masalah stress dalam kalangan pelajar masa kini merupakan satu isu yang sangat berat dan perlu diberi perhatian. Walau bagaimanapun, masalah stress ini mampu diatasi sekiranya kita melakukan senaman ataupun aktiviti luar. Menurut jurulatih kecergasan bertauliah Muhammad Zaim Yazid, badan kita memerlukan sekurang-kurangnya senaman ringan selama 30 minit bagi mengekalkan tahap kecergasan, mengurangkan tekanan, serta mangatasi masalah lesu. Selain kita mampu untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan, dalam masa yang sama kita juga berpeluang untuk menghirup udara yang segar agar tubuh kita berasa lebih bermaya. Sehubungan dengan itu, pakar psikologi mengkaji bahawa aktiviti fizikal dapat mengurangkan kemurungan dan tekanan dengan hanya melakukan jogging selama 10 minit. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa senaman boleh menyingkirkan emosi tekanan pada kebanyakan individu. Penyelidikan saintifik turut membuktikan bahawa individu yang aktif secara fizikal mempunyai kadar tekanan dan kemurungan lebih rendah berbanding individu yang tidak aktif.
Seterusnya, kita boleh berjumpa dengan pakar kaunseling atau pakar psikiatri bagi mendapatkan nasihat dalam menangani masalah yang dihadapi. Kebiasaannya, stress berlaku apabila seorang individu mengalami masalah yang berat hingga menyebabkannya buntu untuk mencari jalan penyelesaian. Namun, apabila kita berjumpa pakar kaunseling, kita berpeluang untuk menceritakan masalah kita serta meminta nasihat daripada mereka. Pakar kaunseling bukan sahaja mampu memberi nasihat, malahan profesion tersebut akan mengajar teknik-teknik relaksasi bagi mengurangkan tekanan yang dialami.
Dari perspektif agama pula, stress dapat diubati dengan solat. Hal ini dikatakan demikian kerana solat mengandungi zikir, dan zikir sekiranya dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati (Danial Zainal Abidin, 2009). Hasil daripada kajian yang dijalankan oleh Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas, dan Ng Siew Cheok (2008) mendapati bahawa ibadat solat menghasilkan keadaan tenang pada otak manusia. Kita boleh menunaikan solat sunat tahajud ataupun istikharah bagi meminta pertolongan dari yang Maha Esa serta diberi jalan penyelesaian. Bagi umat Islam, solat adalah terapi yang terbaik untuk kesejahteraan fizikal dan spiritual yang secara tidak langsung menangani stress.
Langkah lain dalam mengatasi stress termasuklah mendengar alunan muzik yang lembut kerana ianya mampu menenangkan pikiran yang sedang bercelaru. Muzik merupakan sesuatu yang cukup sinonim dan berkait rapat dengan kehidupan harian kita yang mana ia boleh memberi kesan positif yang mendalam kepada badan dan minda kita. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali menyifatkan muzik mampu menjadi terapi yang baik untuk meredakan stress dan menyuntik kegembiraan dalam diri individu. Muzik dapat membantu memperbaiki kualiti dari aspek fizik, perilaku dan psikologi. Semasa belajar juga, pelajar disarankan untuk mendengar muzik terutamanya apabila menjelang musim peperiksaan bagi mengurangkan ketegangan yang dirasai.
Akhir sekali, kita boleh sahaja berkongsi masalah yang dihadapi dengan ahli keluarga mahupun rakan. Hal ini kerana, mereka merupakan insan yang paling rapat dengan kita. Kita akan lebih selesa untuk berkongsi masalah dengan mereka. Tambahan lagi, kita boleh meminta bantuan daripada mereka. Berkongsi masalah dapat meringankan beban fikiran kita. Kita perlu berjumpa dengan orang sekeliling agar tidak terlalu memikirkan masalah yang sedang dihadapi.